Kisah kematian seorang kanak-kanak berusia 2 tahun bernama Mohamad Daniel Mohamad Nasser akibat didera menjadi topik hangat di Singapura.
Daniel maut akibat menjadi mangsa deraan ibu kandungnya sendiri dan teman lelaki, yang hampir setiap hari menjadikan tubuh kecil arwah tempat melepaskan kemarahan.
Prosiding mahkamah mendedahkan, hampir setiap hari Daniel didera secara melampau termasuk ditendang, ditampar, dada dan perutnya dipijak selain dipaksa berdiri berjam-jam sambil meletakkan kedua-dua tangan di atas kepala – hanya memakai lampin.
Lebih kejam, si ibu dan teman lelakinya turut memaksa anak kecil ini memakan cili kering.
Perbuatan kejam pasangan ini terbongkar selepas Daniel akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat teruk didera selama lebih lima minggu, pada 23 November 2015.
Pasangan itu bersama seorang bayi mereka yang berusia 1 tahun dan Daniel, anak lelaki Zaidah dari hubungan sebelumnya dengan lelaki lain, tinggal di flat satu bilik yang disewa di Telok Blangah bersama dua lagi penghuni lain yang turut menyaksikan perbuatan kejam mereka.
Flat di Telok Blangah, tempat kejadian. |
Berikut antara kejadian dera menimpa Daniel yang direkodkan:
18 November 2015 – Daniel tertidur ketika berdiri dengan tangannya di atas kepala. Melihat keadaannya Zaidah menampar muka dan dada Daniel hingga mengalir darah dari mulut, untuk mengejutkannya dari tidur. Apabila Daniel terjatuh ke lantai Zaidah memintal kedua-dua tangan anaknya itu dan memijaknya. Dia kemudian mengangkat Daniel ke tandas dan menukar lampinnya, sebelum memaksanya terus berdiri dengan tangannya diletakkan di atas kepala.22 November 2015 – Sehari sebelum kematiannya, Daniel didera selama berjam-jam lamanya. Sekitar 10.00 pagi apabila Daniel enggan makan sarapan, Zaidah menamparnya. Dia memberikan mangkuk sarapan itu kepada Zaini, teman lelakinya, untuk cuba memberi Daniel makan. Apabila mangsa tetap enggan makan Zaidah dan Zaini menamparnya beberapa kali. Zaidah juga memukul bahagian belakang Daniel hingga mangsa terjatuh ke lantai. Apabila Daniel tidak bangun dari lantai, Zaidah memijak dada anaknya itu sebelum menarik lengannya. Daniel cuma mampu makan dua atau tiga sudu makanan lantas disuruh berdiri di satu sudut.
Sekitar jam 7 malam Daniel tersandar pada katil kerana letih disuruh berdiri sepanjang hari. Pasangan itu terus menampar Daniel, yang hanya mampu berbaring atas lantai dengan mata tertutup. Zaini kemudian membawa Daniel ke dapur dan memaksanya makan dua sudu cili kering, sebelum memaksanya terus berdiri di ruang tamu.
Sekitar 8.45 malam, Daniel kian lemah dan tidak mampu berdiri. Zaidah mencubit tubuh dan pipi anaknya selain menamparnya beberapa kali. Zaidah memberitahu dia menyangka Daniel berpura-pura lemah dan mengadu kepada Zaini lantas teman lelakinya itu menampar mangsa, memijak perutnya hingga terjatuh ke lantai dan terhentak kepalanya. Zaini kemudian memaksa mngsa makan cili buat kali kedua hari itu.
Keesokan harinya, pasangan itu tidak mampu mengejutkan Daniel lantas dan dua rakan yang tinggal serumah dengan mereka menelefon ambulans. Daniel disahkan meninggal dunia jam 9.11 pagi.
Apabila ditanya paramedik dan polis mengapa tubuh mangsa lebam, pasangan itu berbohong dan berkata mangsa biasa mencubit dirinya sendiri dan jatuh tersungkur di tandas.
Menurut laporan bedah siasat, mangsa mempunyai lebih 40 kecederaan termasuk retak tulang rusuk dan pendarahan otak.
Susulan itu Timbalan Pendakwa Raya Claire Poh menyifatkan “penderaan fizikal, mental dan emosi” terhadap kanak-kanak dua tahun yang “tidak boleh mempertahankan diri sendiri” itu sebagai “kejam dan tidak berperikemanusiaan”.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, pasangan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atau disebat.
Manakala, atas kesalahan penderaan kanak-kanak mereka boleh dipenjara sehingga empat tahun atau didenda sehingga RM12,100 bagi setiap tuduhan.
Gambarajah menunjukkan kecederaan dialami Daniel di hampir setiap inci tubuhnya |
Pada 23 Jun lalu ibu mangsa, Zaidah, 41, dan teman lelakinya, Zaini Jamari, 46, telah mengaku bersalah di mahkamah atas tuduhan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, dan tiga lagi tuduhan penderaan kanak-kanak.
Zaidah (kiri) mengaku salah mendera hingga menyebabkan kematian anaknya sendiri. |
Menurut laporan Brunei.com ketika Hakim Daerah Bala Reddy mengarahkan pegawai mahkamah menunjukkan kepada Zaidah dan Zaini yang berdiri bersebelahan satu sama lain di kandang tertuduh gambar-gambar kecederaan yang dirakam pada tubuh Daniel akibat perbuatan mereka, pasangan itu tidak menunjukkan sebarang reaksi yang menunjukkan mereka menyesali perbuatan terhadap mangsa.
Apabila ditanya sama ada mereka mahu berkata apa-apa, kedua-duanya cuma mengambil kesempatan itu untuk merayu dijatuhi hukuman lebih ringan!
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, pasangan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atau disebat manakala atas kesalahan penderaan kanak-kanak mereka boleh dipenjara sehingga empat tahun dan/atau didenda sehingga S$4,000 bagi setiap tuduhan.
Lagi 26 dan 18 tuduhan penderaan kanak-kanak ke atas pasangan tersebut, yang kedua-duanya pekerja pembersihan, akan diambil pertimbangan apabila mahkamah menjatuhkan hukuman pada 15 Julai ini.
Difahamkan, bapa Daniel sedang ditahan dalam penjara dan telah terputus hubungan dengan Zaidah.