!!!IPOH: Seorang gelandangan yang sering merayau di sekitar pekan Ipoh menjadi viral selepas videonya dimuat naik ke Internet dan mendapat reaksi netizen di seluruh Malaysia.
Dalam video berdurasi 12 saat itu, gelandangan itu sedang berjalan di sekitar pekan Ipoh dan video yang diambil dari sudut belakang itu menampakkan seolah-olah dia tidak berkepala.
Ada yang tidak mempercayai video tersebut dan mengatakan ianya telah disunting dan di’edit” hanya untuk menakutkan orang ramai.
Justeru, Suara Perak cuba mengesan lelaki tersebut dan berjaya menemuinya sedang duduk di perkarangan bangunan Seri Kinta, Ipoh pada petang Rabu.K. Vellu, 45 ketika ditemui berkata, perkara tersebut terjadi kepada beliau sejak tiga tahun lepas sewaktu beliau masih lagi bertugas sebagai seorang penjaga keselamatan.
Menurutnya, keadaan kesihatannya menjadi lebih buruk apabila kepalanya semakin lama semakin jatuh menunduk.
Vellu yang masih bujang percaya, dia menjadi mangsa buatan orang.
“Dah ramai orang yang terkejut, ada kereta yang sampai tekan brek apabila mereka nampak saya di terutamanya pada waktu malam.
“Siap ambil gambar, ambil video, saya tahu saya sangat dikenali di Internet sebab ramai yang datang jumpa saya dan bertanyakan kenapa saya jadi macam ini,” ujarnya.
Vellu bagaimanapun berakta, dia sudah biasa dengan sikap sesetengah pengguna lalu lintas yang kadangkala mentertawakan dan mengejek keadaan fizikal dirinya.
Ujarnya lagi, dia sudah serik untuk mendapatkan rawatan bagi memperbetulkan struktur lehernya kerana pihak perubatan turut gagal untuk mengenal pasti punca sebenar kondisinya.
Lebih menarik, Vellu berkata, terdapat beberapa situasi di mana orang ramai menjerit ketakutan dan tidak kurang yang memekik sewaktu ternampak beliau di tempat tidurnya pada waktu malam, iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB).
Vellu yang berasal dari Bidor berkata, dia yakin bahawa struktur lehernya yang agak bengkok dan seolah-olah “jatuh” itu adalah hasil buatan orang.
“Ini kena buat oranglah, doktor pun cuba rawat tetapi tak tahu saya sakit apa, kulit semua mengelupas dan bernanah dan leher saya pun tak boleh nak luruskan.
“Saya dah putus asa, dan kalau boleh berhentilah ambil gambar saya, bukan boleh tolong atau buat apa pun,” katanya.
Sumber : Suara Perak