Johor Bahru: "Jangan risau, saya akan jadikan awak wanita terakhir dalam hidup saya."

Itu antara kata-kata terakhir yang diucapkan Allahyarham Nor Helmee Roslan, 23, kepada bakal isterinya, Nur Khaiun Illyasha Musa, 23, beberapa hari sebelum maut akibat kemalangan jalan raya di Singapura, 28 April lalu.

Kisah Nur Khaiun Illyasha atau lebih mesra dengan panggilan Echa 'viral' di Facebook (FB) apabila keluarganya terpaksa menggantung kain rentang di rumahnya di Johor Bahru bagi memaklumkan majlis perkahwinannya semalam terpaksa dibatalkan kerana bakal suaminya sudah tiada.

Echa ketika dihubungi, di sini, berkata, masih terngiang-ngiang dengan kata-kata semangat yang diucapkan oleh bakal suaminya itu.

"Dia selalu ingatkan saya supaya jadi kuat. Jika suatu hari dia tiada siapa yang akan memberi 'support' (sokongan) kepada saya dan tenangkan saya. Saya mesti kuat," katanya yang sebak mengenangkan hubungan yang terjalin selama dua tahun berakhir dengan pemergian bakal suaminya.

Menceritakan kepiluan yang harus ditanggung, Echa berkata, dia sentiasa sedekahkan al-Fatihah apabila terkenangkan arwah.

"Apabila teringat barang hantaran kami seperti gelang, cincin pertunangan dan jam tangan yang dihadiahkan pada hadiah hari lahir saya terasa sangat sedih dan pilu.

Saya hanya mampu sedekahkan al-Fatihah dan doa supaya dia tenang di sana.

"Walaupun saya nampak tabah, tetapi hati saya siapa yang tahu. Susah juga sebenarnya nak terima kenyataan namun saya harus reda," katanya.

Menurut Echa, selepas 'viral' FB mengenai kain rentang yang diletakkan dihadapan rumah dia banyak menerima komen positif.



"Ramai rupanya yang sayangkan dia dan turut memberi semangat kepada saya. Ramai orang sedekahkan al-Fatihah kepada dia.

"Itu adalah idea (kain rentang) daripada ahli keluarga saya kerana risau sudah menjemput ramai orang dan ini cara terbaik untuk memberitahu tetamu," katanya.
 
Top