PETALING JAYA: Pelakon Ezany Nizariff mendakwa isterinya, Lizda Nuryanti Abidin membuat pendedahan kepada media mengenai masalah rumah tangga mereka selepas cinta dia terhadap seorang lelaki ditolak.

Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @Zohri Mohd Nizariff, 41, berkata, walaupun tidak tahu kenapa pendedahan itu dibuat, namun dia menyifatkan tindakan Lizda adalah lucu dan tidak bijak.

"Setelah lama dia menghilang, tidak hadir ke mahkamah untuk kes perbicaraan cerai nusyuz, hak penjagaan kekal anak dan hak penjagaan anak sementara, tiba-tiba dia muncul dengan kenyataan media yang kurang bijak.

"Saya tahu dia kecewa apabila lelaki harapan yang kononnya mahu bernikah dengannya meninggalkan dia dan berkahwin dengan orang lain membuatkan dia berani keluarkan kenyataan kepada media memburukkan saya pula," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.

Ezany berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pendedahan isterinya yang mendakwa Ezany berlaku curang serta mengabaikan tanggung jawabnya sebagai seorang suami.

Malah, Lizda juga memberitahu setiap kenyataan yang diberi oleh Ezany kononnya dia lari dari rumah bersama kekasih juga adalah palsu selain mendakwa Ezany berlaku curang.

Bagaimanapun, kata Ezany, setiap kenyataan yang dikeluarkan Lizda langsung tidak benar dan dia menganggap isterinya itu sengaja mahu mengenakan dia semula atas tujuan tertentu.

"Apabila menuduh saya tidak beri nafkah dan majlis kahwin ditanggung oleh dia sepenuhnya, saya tak nampak di mana logiknya itu kerana ketika kami berkahwin, dia tiada duit.

"Kalau saya tak beri nafkah, macam mana dia boleh hidup senang? Takkan setiap kali nak bagi nafkah, saya perlu membuat penyata gaji?

"Bagi saya, senang sahaja, buktikan apa yang dia katakan itu betul. Kerana saya juga ada bukti mengenai kecurangannya itu," ujarnya.

Sementara itu, Ezany berkata, pendedahan Lizda itu membuatkan wanita yang rapat dengannya dikenali sebagai Datin Paduka K turut terkena tempias kemelut masalah rumah tangganya itu.

"Jujurnya saya malu dengan dia (Datin Paduka K) kerana dia juga terkena tempias gara-gara masalah saya dan Lizda. Sedangkan kami baru kenal rapat," tuturnya.

Dalam pada itu, Ezany berkata, kes cerai dan nusyuz yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala tuntutan hak penjagaan kekal anak dan hak penjagaan sementara anak dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Keempat-empat kes yang difailkan sekitar Ogos 2014 berkenaan masih belum selesai.

Manakala Lizda pula mendakwa telah mendapat hak penjagaan sementara dua anak mereka di Mahkamah Rendah Syariah Tawau.

Pergolakan rumah tangga pasangan berkenaan tercetus selepas Ezany mengakui isterinya minta diceraikan sebelum dia membuat laporan polis berhubung dakwaan wanita berkenaan dilarikan oleh seorang lelaki yang dikenali pada 17 Julai 2014.

Ezany dan Lizda diijabkabulkan pada 1 Julai 2007 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Hayden Harraz yang berusia 2 tahun dan Rayyan Harraz (4 tahun).
 
Top