EMPAT tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Memey Suhaiza mengakui hidupnya semakin sempurna. Memiliki keluarga bahagia, di samping suami penyayang serta anak-anak yang comel, akui Memey ia melengkapkan lagi hidupnya sebagai wanita.

Ditambah pula dengan keputusannya untuk berhijab dua tahun lalu, memberikan lebih ketenangan buat dirinya.

Berusaha mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, Memey turut menjadikan Rasulullah SAW sebagai idolanya. Malah sempena Maulidur Rasul ini, isteri kepada aktor Norman Hakim ini lebih istiqamah dengan mengenang serta mengenali keperibadian keagungan Rasulullah SAW.

"Sekarang banyak yang saya pelajari sejak penghijrahan ini, maka saya perlu amalkan untuk diikuti dalam kehidupan seharian.

"Banyak sebenarnya keperibadian dan kisah Baginda yang masih tidak saya ketahui. Justeru, masih perlu dikaji dan dipelajari," katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 28, dalam menjalani kehidupan seharian, dia cuba memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama serta mempelajari sunnah Rasulullah.

"Mungkin saya bukanlah contoh yang baik, tetapi sebagai manusia yang sentiasa inginkan kebaikan, saya belajar juga untuk memperbaiki diri.

"Pastinya sebagai umatnya, segala apa yang dilakukan oleh Baginda akan cuba saya ikuti. Walaupun tidak sepenuhnya lagi, tetapi saya cuba belajar dari hari ke hari," katanya.

Sebagai ibu kepada dua cahaya mata, Memey berkata, dia juga cuba menerapkan keperibadian yang baik ke dalam diri anak-anaknya.

"Saya akui saya masih banyak kekurangan, namun dalam tempoh belajar, saya turut mendedahkan anak-anak dengan keperibadian lebih baik.

"Pada masa sama, saya tidak terlalu memaksa anak-anak untuk mengikuti segala kemahuan kita kerana mereka masih kecil," katanya.

Sempena tahun baharu, Memey berkata, dia akan terus berusaha memperbaiki diri menjadi wanita Muslimah lebih baik.

"Apa yang saya rancang sebolehnya, mahu terus muhasabah diri dan kembangkan lagi perniagaan.

"Lakonan pula mungkin tidak seaktif sebelum ini, namun tidak bermakna mahu berhenti terus daripada bidang tersebut," katanya.

Belajar dari kesilapan lalu

Berkongsi pula mengenai kerjaya serta kehidupan rumah tangganya, Memey memanjatkan kesyukuran kerana segalanya dipermudahkan ALLAH.

"Selepas melalui bermacam-macam perkara sebelum ini, Alhamdulillah, dengan apa saya lalui kini lebih baik daripada dahulu. Justeru saya perlu hadapi dan perbaikinya lagi," katanya.

Memey juga mengakui sejak berkahwin dan memiliki anak, karier seninya semakin perlahan.

"Saya sekarang terikat sedikit dengan masa, jadi jika ada rakaman atau penggambaran yang pendek baharu akan saya ambil.

"Saya juga sedikit sibuk menguruskan perniagaan saya dan suami iaitu butik pakaian jenama Meylana yang kini semakin mendapat sambutan. Insya-ALLAH jika ada rezeki lebih, kami mahu menambah dua atau tiga lagi cawangan tahun depan," katanya.

Sebagai pasangan yang masih baharu dalam alam rumah tangga, Memey juga mengamalkan konsep 'mesyuarah' iaitu sering berkomunikasi dengan suaminya, Norman dalam menyelesaikan masalah.

"Cara itu penting kerana masing-masing punyai fokus berbeza serta sibuk dengan kerjaya masing-masing, justeru kerapkan komunikasi agar rumah tangga sentiasa rukun," katanya.
 
Top