BAYAN LEPAS - Helah suspek yang menangis dan meratapi pemergian bekas teman wanita tidak menjadi apabila lakonan itu berjaya dikesan oleh ahli keluarga sebelum membongkarnya sebagai dalang yang menyebabkan kematian Intan Suraya Mawardi malam kelmarin.

Ibu saudara mangsa yang enggan dikenali, melihat suspek datang ke lokasi kejadian dan menangis teresak-esak selepas mengetahui berita mengenai mangsa.

Bagaimanapun, gerak geri lelaki itu yang mencurigakan menyebabkan ahli keluarga mengesyaki sesuatu sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

"Suspek datang ke rumah mangsa dan menangis..Dia juga minta untuk masuk ke dalam bagi melihat mangsa namun saya tidak benarkan kerana bimbang akan mengganggu siasatan polis.

"Bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa jiran memaklumkan kepada saya yang lelaki berkenaan sebelum ini pernah dilihat mengganggu dan sering dilihat menunggu mangsa di luar rumah," katanya ketika ditemui media di sini.

Wanita berusia 56 tahun itu berkata, selepas siasatan dilakukan, polis mendapati lelaki berkenaan dipercayai terlibat dengan pembunuhan itu.

Menurutnya, lelaki itu juga mengaku melakukan perbuatan kejam terhadap mangsa dan menyerahkan beberapa barangan yang menjadi bahan bukti.

"Sekarang ini perkara itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kami berharap hukuman setimpal dikenakan terhadapnya," katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu di sini apabila ratusan ahli keluarga dan rakan sekolah mangsa berkumpul bagi menghadiri pengkebumiannya.

Jenazahnya dibawa dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas proses bedah siasat dan tiba di perkarangan masjid itu kira-kira jam 4.30 petang.

Jenazah disembahyangkan dan selamat dikebumikan kira-kira jam 5 petang.
 
Top