MAHAMAD Fitra Tahid, yang kelihatan seperti kanak-kanak berusia 10 tahun berkahwin dengan pasangannya Nurul Syazwani Mustafa, 19, selepas tiga tahun berkenalan.
SUNGAI PETANI: Selepas kisah perkahwinannya viral di internet, pengantin lelaki berwajah kanak-kanak tampil menjelaskan bahawa beliau berusia 20 tahun ketika berkahwin dengan pasangannya, Ahad lalu. Mahamad Fitra Tahid, yang kelihatan seperti kanak-kanak berusia 10 tahun berkahwin dengan pasangannya Nurul Syazwani Mustafa, 19, selepas tiga tahun berkenalan. Bagi Mahamad Fitra, tohmahan dan ejekan orang selepas kakaknya, Atikah Farisyaa, 24, memuatnaik gambar perkahwinannya tiga hari lalu di laman sosial Facebook sedikit pun tidak membuat beliau kecil hati kerana memahami salah faham orang ramai. "Saya tidak ambil hati dengan tanggapan masyarakat selepas gambar perkahwinan kami menjadi viral dan mendapat perhatian pengguna laman sosial. Wajah keanak-anakan itu sebenarnya disebabkan masalah kesihatan yang saya hidapi iaitu Talasemia Major sejak berusia 10 bulan. "Doktor pernah memberitahu bahawa akan berlaku masalah pertumbuhan dari segi fizikal ke atas diri saya dan saya percaya wajah seperti kanak-kanak hari ini adalah salah satu faktor daripada penyakit yang saya alami selama ini," katanya ketika ditemui di sini. Anak ketiga daripada sepuluh beradik ini berkata, selain dirinya, kakak sulungnya, Atikah Farisyaa turut mempunyai masalah kesihatan sama namun kelihatan normal seperti orang dewasa lain. "Apa pun saya bersyukur dan menganggap ia sebagai anugerah dari Yang Maha Esa," katanya. Bercerita mengenai majlis perkahwinan sebelah pengantin perempuan yang diadakan di Kampung Bukit Pengkalan Lebai Man, di sini, Ahad lalu, yang mendapat perhatian ramai itu, Mahamad Fitra berkata, ramai tetamu bertanya usia sebenarnya. "Kami menjadi perhatian tetamu, sampaikan sewaktu menjamu selera ramai yang memerhatikan kami sahaja," katanya. Mahamad Fitra menambah, pegawai agama juga tidak percaya sewaktu dia dan Nurul Syazwani ke pejabat agama untuk urusan perkahwinan sehinggakan terpaksa menunjukkan kad pengenalan diri. Sementara itu, Nurul Syazwani, berkata dia menerima suaminya itu seadanya biarpun Mahamad Fitra sering menjadi perhatian masyarakat. "Saya tidak kisah apabila ada mengatakan suami saya seperti usia 10 tahun. Keadaan ini langsung tidak mengganggu perhubungan kami sejak berkenalan tiga tahun lalu sehingga sah menjadi suami isteri," katanya.
 
Top