Kini akhirnya pihak polis sendiri tampil dedahkan punca sebenar kematian tiga sekeluarga
KUCHING: Faktor kesempitan hidup selepas ditinggalkan suami dipercayai punca seorang jbu bertindak meracun dua anak lelakinya sebelum menggantung dirinya di rumah mereka di Kampung Baru, Kota Samarahan malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, ibu malang berkenaan, Rohani Mohamad, 37, yang sedang proses perceraian dipercayai mengalami tekanan perasaan dan kemurungan selepas ditinggalkan suaminya yang berasal dari Saratok.
Difahamkan, sejak tujuh bulan berpisah dengan suaminya, mangsa tidak mempunyai sebarang pendapatan, malah tidak menerima sebarang nafkah bagi menyara kehidupannya dan anak-anak.
Berikutan kesempitan hidupnya, mangsa bersama dua anak lelakinya, masing-masing berusia 4 dan 7 tahun terpaksa mengharapkan belas ihsan keluarga angkat mereka tinggal di rumah berkenaan.
Dalam kejadian malam tadi, mayat Rohana ditemui tergantung dalam tandas di rumah berkenaan, manakala kedua-dua anak lelakinya, Adam Hadiman, 7, dan Mohd Ikmal Danish, 4, ditemui dalam bilik tidur, dengan keadaan bibir kehitaman.
Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui botol cecair peluntur di sisi mayat dua kanak-kanak lelaki itu. Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan dari anggota keluarga mangsa yang curiga terhadap keadaan dua kanak-kanak berkenaan.
"Ketika ditemui, kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu sudah pun meninggal dunia, manakala adiknya dalam keadaan kritikal.
"Bagaimanapun, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) Samarahan," katanya.
Menurut Chong Chern, pemeriksaan lanjut gagal menemui tanda-tanda pergelutan dan unsur jenayah.
"Kita tidak menolak kemungkinan si ibu meracun kedua-dua anaknya sebelum bertindak menamatkan riwayatnya. Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Difahamkan, ketika kejadian, hanya mangsa bersama dua anak lelakinya berada di lokasi kejadian, manakala ibu bapa angkat wanita itu berada di kebun berhampiran.