PANAS..!!!! Ini Tindakkan Datuk Vida 'Komen Balas' Isu Komen JDT Kalah Kepada Perak
PETALING JAYA – Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menegaskan video dalam loghat Perak yang dimuat naik di laman Instagram mengenai kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada Perak sengaja diperbesarkan dan disalah tafsir oleh netizen.
Menurut beliau, video itu bukan berniat untuk memperlekehkan JDT tetapi mahu pengikutnya berkongsi mengenai kekalahan pasukan tersebut di Stadium Ipoh, Perak.
“Teruk juga saya dicemuh dan ada juga netizen yang berbalah sesama sendiri. Tapi saya enggan ambil pusing dan menganggap netizen salah anggap mengenai video itu.
“Sebenarnya saya terkejut mengapa kelab hebat seperti JDT boleh tewas kepada Perak. Oleh itu saya rakam video tersebut minta pengikut ceritakan mengenai kekalahan JDT,” katanya kepada mStar Online, Selasa.
Namun, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau tidak menduga video itu menjadi bualan hangat dan dikecam teruk penyokong JDT.
“Saya tak sangka video ini jadi panas pula. Saya harap netizen berhenti berbalah dan berburuk sangka dengan pertanyaan tersebut,” katanya.
Jelas Vida, beliau sering mengikuti perkembangan JDT selain Felda United kerana kedua-duanya pasukan kuat dalam saingan liga bola sepak di negara ini.
“Selain Kelantan, saya sering ikuti perlawanan JDT dan Felda United. Kebetulan pada malam itu, saya berada di Kota Baru (Kelantan), jadi terlepas perlawanan di tempat saya berdagang,” katanya.
Terdahulu, Vida memuat naik video dalam loghat Perak ‘cer citer’ yang bertanya kepada pengikutnya di Instagram mengenai kekalahan JDT pada Ahad lalu.
Video itu ditonton kira-kira 72,400 pelayar dan hampir 700 komen dibuat mengenainya.
Selain penyokong, pemilik pasukan JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memberi reaksi menerusi laman web rasmi Johor Southern Tigers pada Isnin.
Tunku Ismail dalam nada sinis mendakwa terdapat segelintir pembenci ‘meraikan’ kekalahan JDT tetapi hakikatnya pasukan itu telah berjaya memperolehi dua trofi pada tahun ini.
Jelas beliau, kejayaan sesebuah kelab bola sepak tidak diukur berdasarkan menang atau kalah dalam sesuatu perlawanan tetapi melalui kemajuan pasukan seperti memenangi piala, kekuatan kewangan kelab dan kemajuan serta pencapaian kelab secara keseluruhan.
“Ini adalah caranya kita menilai kejayaan. Walaupun anda begitu gembira kerana JDT tewas 3-0 dalam saingan Piala Malaysia, tidakkah anda sedar bahawa kami sudah memiliki 2 trofi dalam simpanan kami untuk tahun ini?
“Walaupun ramai gembira kerana JDT tewas 3-0, di manakah kedudukan anda dalam liga?,” kata Tunku Ismail.
Pada masa sama Vida berkata beliau tidak akan memohon maaf mengenai perkara itu kerana merasakan dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Saya tak perlu minta maaf. Saya sekadar bertanya mengapa JDT boleh kalah kepada Perak. Itu sahaja,” katanya.
Vida turut berkata beliau menghormati semua pasukan kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.
“Tidak kira sama ada pasukan itu peneraju liga atau sebaliknya masing-masing ada kelebihan tersendiri. Siapa sangka Perak boleh atasi JDT dengan kemenangan 3-0,” katanya. – mstar